Maksudnya:“Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak)
yang termasuk orang-orang yang soleh.”(Surah Ash-Shaaffat 23:100)
Pendidikan keluarga Islam merupakan satu saranan dalam pendidikan Islam. Pengertian pendidikan keluarga Islam tidak terbatas pada ruang lingkup mendidik anak sejak dalam kandungan sampai masa sekolah, malah pendidikan keluarga Islam mencakupi mulai masa bayi dalam kandungan hingga anak itu dewasa dan berkeluarga. Suasana pendidikan keluarga Islam ini untuk melahirkan seorang anak yang soleh (cAbdul Qadir Djaelani 2001) sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.:
Maksudnya:
Daripada ِAbi Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Apabila mati anak Adam (manusia), maka terputuslah semua amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh.
Berdasarkan sabda Junjungan Nabi Muhammad s.a.w. tersebut mencerminkan betapa pentingnya didikan yang wajib ditekan ke atas anak-anak di peringkat bayi sehingga baligh dan seterusnya ke peringkat remaja supaya mereka dapat menjadi anak yang soleh kepada kedua ibu bapa dan berpegang teguh kepada ajaran Islam.
Menurut jumhur ulamac, yang dimaksudkan hadis di atas ialah anak-anak yang soleh ialah anak-anak yang dibimbing dan dididik oleh orang tuanya supaya selalu mendoakan kesejahteraan mereka berdua di dunia dan akhirat (Umar Hasyim 1983). Oleh sebab itulah, pentingnya ibu bapa mengasuh serta mendidik anak-anak mereka selaras dengan tuntutan syaricat Islam.
Menurut Ahmad Muhammad Jamãl (1989: 12) ”tarbiyah” dalam Islam membawa maksud yang amat mendalam kepada individu dan kelompok. Beliau mengatakan ’tarbiyah’ ialah satu bentuk untuk melahirkan kesedaran yang tinggi kepada ummat Islam. Ia bertujuan menyemai dalam diri seseorang itu supaya menjadi seorang Muslim yang teguh pada agama, cibadah, berkepimpinan dan mempunyai kekuatan rohani dari sudut teori, praktikal, ideologi dan tingkah laku.
D
alam terminologi Bahasa cArab, istilah pendidikan (education) bererti ”tarbiyah”, dengan membawa maksud mengembangkan, memelihara, mengasuh, atau membesarkan. Kata tarbiyah di sini dengan maksud ”mengembangkan atau meningkatkan secara setahap demi setahap”. Ia adalah berlaku ke atas makhluk Allah s.w.t. yang hidup dan memiliki kemampuan untuk tumbuh dan berkembang.
Khusus dikaitkan dengan pendidikan awal kanak-kanak, hal ini melibatkan bermacam usaha dalam pengertian ini bahawa semua sikap dan tingkah laku ibu bapa harus diarahkan untuk memberikan pendidikan awal kepada anak-anak secara tepat dan benar. Jadi, apa yang dapat disimpulkan di sini, bahawa anak merupakan wujud daripada sikap dan tingkah laku kedua ibu bapanya (Mahjubah Magazine 1992).
Menurut Ibn Sina dalam Fatimah Ali (1989), peringkat umur dari masa dilahirkan hingga ke enam tahun itu amat kritikal. Dalam jangka usia ini, kanak-kanak mestilah ditekankan kepada pembentukan disiplin. Maka itulah sebabnya Ibn Sina mahukan ibu khususnya, sebagai guru pertama kepada kanak-kanak mempunyai sifat moral yang sempurna serta intelektual yang tinggi dari dari kacamata Islam.
Ini kerana, sifat dan kekuatan mental (intelektual) serta spiritual ibu bapa mempunyai pengaruh yang kuat ke atas perkembangan sahsiah kanak-kanak. Pembentukan disiplin kanak-kanak bermula sejak tahap penyusuan. Di sinilah langkah pertama untuk kanak-kanak mempelajari sopan-santun yang baik.
Selain itu, menurut Rousseau (ahli falsafah Perancis) dalam Fatimah (1989) ‘masa kanak-kanak’ di kalangan manusia adalah lebih panjang daripada haiwan. Ini adalah sebab ’masa kanak-kanak’ itu berfaedah bagi ummat manusia kerana tidak ada makhluk lain hidup di muka bumi ini yang lebih lemah dan lebih bergantung kepada alam sekitarnya.
Beliau selanjutnya menjelaskan bagaimana kanak-kanak memerlukan perlindungan dan ini boleh dilakukan dengan menyediakan persekitaran yang dapat mengembangkan potensi-potensinya dan mengajarnya untuk menjalani kehidupan yang baik, supaya ia tidak ditinggalkan sendiri dan dipengaruhi oleh gejala-gejala negatif yang mungkin membawa kepada kejahatan dan keburukan.
Antara penyataan beliau: ’Pentingnya masa kanak-kanak di mana peribadinya terbentuk yang pengaruhnya besar sekali pada kehidupan selanjutnya. Iaitu masa dewasa dan masa tua, hal-hal pertamalah yang patut dipelihara, sebab kanak-kanak pada asalnya diciptakan untuk menerima baik atau buruk. Hanya orang tualah yang mencenderungkan kepada salah satu daripadanya’.
Dalam tamadun Barat apa yang dimaksudkan dengan ’pendidikan awal’ ialah pendidikan pendidikan prasekolah. Ia hanya untuk kanak-kanak yang berumur tiga tahun hingga enam tahun iaitu apa yang dikatakan sebagai pendidikan ’kindergarden’, tetapi selepas beberapa kajian mereka mengubah had umur itu kepada peringkat selepas lahir hingga ke enam tahun dan diwujudkan pula peringkat ’nursery’. Dari sudut Islam pula peringkat ’pendidikan awal’ ini bermula dari anak itu masih berada di dalam kandungan ibu lagi sehingga kanak-kanak itu berumur enam tahun. Secara amnya pendidikan prasekolah Islam boleh dibahagikan kepada dua peringkat sebelum lahir dan selepas lahir (Khadijah Zon et al. 1989).
Dari sudut Islam juga, kanak-kanak perlu disedarkan dan diyakinkan seawal mungkin tentang status mereka sebagai insan ciptaan Allah s.w.t. Usaha ini bermula di rumah, tetapi dalam sesuatu latihan proses ini perlu berlaku secara lebih sistematik, berterusan dan terkawal dan proses mendidik ini dalam masa yang sama memerlukan kerjasama daripada ibu bapa secara serius (Mohamed Talhah Idrus 1989). Tanggapan Islam kepada pendidikan dan pembentukan kanak-kanak adalah satu tugas, tanggungjawab, amanah atau cubaan bagi kedua ibu bapa atau sesiapa sahaja yang terlibat dengan pendidikan dan pembentukan anak-anak. Pendidikan juga adalah proses penerapan secara progresif tahap demi tahap ke dalam jiwa manusia dengan ilmu, kemahiran dan akhlak agar anak-anak boleh:
i. Mendisiplinkan badan, jiwa dan mental sesuai dengan keadaan potensi dan kemampuan fizik, intelek, emosi dan rohaninya.ii. Mencam dan menerima kenyataan sehingga ia boleh mempunyai persepsi, perasaan, harapan dan keinginan untuk mendapat ilmu pengetahuan.iii. Bersikap adil terhadap dirinya, orang lain, kepada haiwan, tumbuhan dan alam persekitaran.iv. Mempunyai sikap dan ciri-ciri mental, jiwa, tutur kata dan gerak geri yang berkualiti tinggi.v. Bergerak secara tepat dan betul (Khalijah Mohd. Salleh 1994).
Dalam memperkatakan pendidikan awal dari perspektif Islam, Al-Ghazali berpendapat bahawa kanak-kanak merupakan amanah dan tanggungjawab orang tuanya, jiwanya suci murni merupakan permata mahal yang bersahaja dan bebas dari ukiran dan gambaran dan ia boleh menerima setiap ukiran dan cenderung kepada apa yang dicenderungkan kepadanya. Asuhan dan pendidikan awal adalah khusus kepada kanak-kanak di bawah umur enam tahun. Pada umur ini ada dua perkara penting yang dilalui oleh setiap kanak-kanak iaitu pertumbuhan dan perkembangan.
Pertumbuhan adalah perubahan yang boleh diukur daripada satu peringkat ke satu peringkat dan dari suatu masa ke suatu masa seperti perubahan tinggi, berat dan bilangan gigi. Perkembangan pula adalah perubahan yang melihatkan sifat berlainan daripada sifat terdahulu seperti kebolehan seorang bayi untuk merangkak, berjalan, dan seterusnya berlari. (Rosnah Ahmad 2003).
Oleh sebab itu, pada peringkat bulan-bulan terawal, anak-anak memberi pengalaman yang penting kepada ibu bapa untuk memahami sikap dan tingkah laku mereka. Pengalaman keibuan dan kebapaan adalah kompleks iaitu ia bukan sahaja pengalaman hanya sekadar melihat dan memahami anak-anak mereka tetapi juga menonjolkan identiti ibu bapa itu sendiri (Diane Richardson 1993).
Dalam proses perkembangan inilah disalurkan corak pendidikan awal kanak-kanak dan melihat sejauh mana ia mempengaruhi perkembangan itu dari segala aspek sama ada keperibadian, pergaulan, kekuatan fizikal, mental, emosi dan kognitif. Dengan kata lain, pendidikan awal terhadap kanak-kanak adalah meliputi semua aspek kehidupan kanak-kanak itu sendiri supaya mereka tidak terlalu kaku untuk berdepan dengan pelbagai situasi di luar rumah apabila mula berhubungan dengan orang asing.
Menurut Prof. Madya Dr. Mastura Badzis, Pengarah Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) Universiti Pendidikan Sultan Idris, hakikat yang perlu kita tahu dari fakta yang dikemukakan oleh pakar perkembangan dan psikologi kanak-kanak, diperingkat umur 6 tahun pertama inilah peringkat paling utama dan paling laju perkembangan mereka berbanding dengan peringkat-peringat atau tahap umur yang lebih dewasa dalam kehidupan seorang insan. Pakar perkembangan dan psikologi kanak-kanak berpendapat bahawa lebih separuh dari perkembangan intelektual kanak-kanak berlaku dari usia 0 hingga empat tahun manakala satu pertiga yang lain sempurna perkembangannya ketika kanak-kanak berusia 8 tahun.
Menurut beliau lagi, dapatan terbaru dari kajian yang dilakukan oleh pakar neurologi mendapati bahawa 80-85% perkembangan otak manusia berlaku dalam tempoh enam tahun pertama usia seorang kanak-kanak dan peringkat perkembangan yang paling pesat ialah diperingkat umur yang terawal dalam tempoh enam tahun tersebut. Justru itu boleh dikatakan di sini bawa ketinggian kualiti pendedahan dan pendidikan awal seseorang kanak-kanak merupakan asas kepada keseluruhan perkembangannya yang akan datang.
Rujukan : http://mysimplestory.wordpress.com/2008/03/05/tanggungjawab-ibu-bapa-membentuk-peribadi-akidah-anak-sebaik-dilahirkan/
No comments:
Post a Comment